Wednesday, July 29, 2009

CUTI-CUTI MALAYSIA






Alhamdulillah sempat bawa family bercuti 2 hari ke melaka. Seronok. Banyak perkara baru yang dapat difikir dan dirancangkan. Makan ikan bakar di Umbai. Ke Zoo Melaka. Kota Afamosa, muzium yang banyak sekitar di bandar hilir. Berjalan dan berjalan. Sehingga anak-anak penat dan seronok. InsyaAllah jika ada kelapangan akan bercuti ke utara pula. InsyaAllah

Wednesday, July 22, 2009

Allah selamatkan saya ketika derita...

(Seperti yang di catat oleh Azamin Amin)
Renungilah semoga ada iktibarnya........

Duit RM1.00 di telapak tangan, saya genggam kemas. Untuk membeli minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak. Tahun itu 1998, ketika saya masih bujang.

"Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini...?" kata hati, sambil tangan terus memasukkan wang itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah bersabar menahan sengsara.

Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil. Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan hanya mimpi semata-mata.

Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah dan daif.

"Jika ada duit, adik nak makan apa?" tanya wartawan wanita itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja.

"Roti canai..." jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang menunduk malu. Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula.

Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah.

Tidur untuk menahan lapar

Saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar kata hati lagi.

Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.

Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi.

"Nah, kami teringat kat Azamin, saja beli nasi goreng lebih," kata jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil menghulurkan bungkusan makanan itu.

Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat. Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam itu...hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma.

Benarlah kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan bercambah-cambah.

Itu kejadian pertama, lalu muncul pula kisah kedua, antara peristiwa aneh daripada pengalaman hidup saya yang cukup sulit, perit dan sakit.

Keperitan dilalui sehingga pernah saya bekerja mencuci kereta, menjadi pelayan di kedai makan, mencuci kasut orang, mengutip hutang seperti 'Ah Long', menjadi pengawal keselamatan dan 'house-keeping' di resort dan aneka kerja untuk meneruskan kehidupan di ibukota.

Pernah dua hari, saya sekadar meneguk air sejuk semata-mata lantaran tiada wang untuk menjamu selera.

Ada juga kalangan kawan-kawan yang menawarkan 'kerja', namun saya tolak kerana menjadi 'pusher' dan jual paket-paket ganja, jadi 'bouncer' di kelab malam dan upah 'menarik' kereta mewah adalah kerja-kerja yang mengundang padah.

Saya rela berlapar daripada menempah bahaya dan memalukan ayah bonda. Saya yakin, jika kita mengelak, Allah akan pasti membantu kita.

Seperti kisah, ketika saya bekerja di sebuah syarikat saham di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Pendapatan saya dikira agak boleh tahan jika dicampur dengan kerja lebih masa sehingga subuh hari.

'Tak boleh sembahyang Jumaat!'

Saya bekerja di bahagian 'script processing' dan 'data entry'. Masa itu, masih wujud sijil-sijil saham jenis kepingan kertas yang perlu dikira satu persatu sehingga mencecah ribuan setiap hari.

Suatu hari, ketika saya pulang ke pejabat selepas mengerjakan solat Jumaat kira-kira jam 2.45 petang, seorang pegawai muda menengking saya dengan tidak semena-mena.

"Kenapa baru balik? Pergi mana?" jerkahnya.

"Sembahyang. Hari inikan Jumaat," saya jelaskan dengan santun.

"Sembahyang banyak lama ka? Kawan-kawan awak pun tak sembahyang, lain kali tak payah pergi sembahyang!"katanya tidak puas hati.

Ya, salah kawan-kawan saya juga yang sebilangannya jika hari Jumaat akan 'solat' di Pertama Kompleks, Bukit Bintang dan mana-mana tempat mereka lazim 'bersidai'.

"Apa?!! Tak payah sembahyang? Tak pa, sekarang juga saya berhenti!!!" kata saya melawan sambil meninggalkan pegawai itu terkebil-kebil sendiri. Kejadian itu disaksikan oleh ramai rakan-rakan saya, yang juga tidak sembahayang.

Pada saya, rezeki milik Allah, dan bekerja mestilah diredhai oleh-Nya. Alhamdullilah, saya menganggur hanya seminggu sahaja, apabila seorang "Remiser" mengambil saya berkerja sebagai "Asistant" di syarikat yang sama, dan saya berurusan dengan mamat pegawai ini dalam suasana yang berbeza - bukan di bawah telunjukknya lagi.

Kembali kepada kisah ajaib yang berlaku kepada saya.Tetapi, bagi Tuhan yang Maha Kuasa ianya, tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa yang Dia mahu. Yang pasti, pintalah.

Suatu malam, saya sudah tenggelam punca. Maklumlah wang saya sudah habis. Bukan sebab berfoya-foya, membeli itu ini sesuka rasa tetapi gaji yang diterima cukup-cukup makan saja. Lebih parah, esok untuk ke tempat kerja, tambang bas pun tidak ada. Untuk meminjam, saya sudah tidak sanggup menebalkan muka.

Saya hamparkan sejadah, solat sunat dua rakaat. Inilah antara pesan yang ditinggalkan oleh ibu yang tercinta dan arwah guru saya.

"Jika kau susah sangat, solatlah dua rakaat dan pintalah pada Allah apa yang dihajat," ingat mereka kepada saya.

Teresak-esak saya menangis. Tak tahu nak dikatakan apa lagi. Malu pada Tuhan yang amat. Ada kala saya tidak mensyukuri nikmat. Saya tidak tahu kemana lagi hendak dituju. Untuk bergantung kepada manusia, saya sudah tidak mampu. Aib dan cukup-cukup malu!

Bak kata seorang sahabat Nabi tentang kemiskinan yang dilaluinya...

"Jikalau aku diam, aku akan lapar, jika aku bersuara untuk berhutang, aku menambahkan malu di muka."

Ya, begitulah juga dengan saya...hanya pada Allah saya berharap. Seusai bermunajat, ambil sebuah Quran kecil milik saya untuk membasahkan lidah dengan surah-surah kalimah Allah buat menenang jiwa yang resah.

Tatkala membuka helaian demi helaian Quran itu, tiba-tiba terselit sekeping wang RM50.00 di situ. Berjurai air mata saya, lantaran kesyukuran kerana Allah membantu saya dengan cara yang tidak disangka-sangka...

Ini bukan kisah rekaan, malah saya percaya Allah juga pernah dan telah membantu manusia-manusia di luar sana hatta pembaca dengan jalan penyelesaian yang tidak diduga.

Ada dengan cara fitrah manusia, ada dengan cara logik akal, ada yang lambat, ada yang cepat dan ada yang tidak dijangka-dijangka dan mustahil diterima waras manusia...itulah Allah, yang amat menyayangi hamba-Nya.

Yakinilah bantuan Allah SWT, sangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Allah SWT bersama hamba-Nya yang bersangka baik dan taat pada-Nya.

Seperti sebuah hadis Qudsi ertinya: Allah menyebut: "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu." Isteri menangis, anak tersenyum sehingga lena

Sekitar tahun 2002, Allah juga pernah 'menyelamatkan' saya pada suatu malam ketika benar-benar kesempitan wang.

Malam itu, susu anak sulung saya habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan-kepingan syiling saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis makanan.

Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel saya merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri saya sudah tidak sanggup melihat keadaan itu.

Saya dengan hati yang luluh, lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya.Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak berwarna, tetapi berkaca sama seperti air mata ayah dan ibunya.Namun tanpa banyak rengekkan, dia capai lalu menghisap botol tersebut.

Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang saya...

Bimbang benar jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat meminum susu. Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak duduknya keadaan saya, sehingga anak menjerit kelaparan. Isteri saya juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si sulung seterusnya.Saya bersabar menunggu detik itu...Sambil memegang botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua seraya berkata :

" Mmm...sedap.."

Dan dia mengukirkan senyuman paling manis di wajahnya dan sudah cukup untuk 'mencarik-carikkan' nurani saya. Aduhai, sebak terasa di dada. Isteri saya sudah tidak dapat menahan sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu air suam sehinggalah terlena......

Sebenarnya, ujian-ujian yang Allah berikan ini sama ada kepada saya atau yang lain, adalah untuk menguatkan jiwa, iman dan keteguhan manusia menghadapi cabaran getir dan mengukuhkan lagi kebergantungan kepada-Nya.

Ketika menghadapinya terasa cukup sakit namun setelah berjaya melintasinya, ianya cukup nikmat. Pengalaman pahit umpama 'universiti terbaik' hidup kita selama ini.
Dan setiap ujian yang diberikan, adalah sesuai dengan kemampuan seseorang. Masalah-masalah saya, tidak diberikan dan berbeza kepada orang lain kerana khuatir mereka tidak dapat menanggungnya.

Begitu juga masalah mereka, tidak diberikan kepada saya, khuatir saya hilang punca dan tidak upaya menahan bebannya.

Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia seperti firmannya:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya?" (Al-Baqarah: 286)

Begitulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani.

Adakala hidup ini dilalui dengan pelbagai himpitan, masalah, ujian namun kita tidak keseorangan dalam menghadapinya. Allah itu kan ada, mendengar rintihan kita. Jika anda rasa, anda susah betapa ramai lagi yang tak pernah kenal erti apa itu lampu, pendingin hawa atau makanan enak menjilat rasa.

Atau sekadar menjamah pucuk-pucuk paku di belakang rumah atau sayur ulaman di kaki longkang. Baju lusuh bertukar warna, menjadi teman di Hari Raya. Mereka lebih derita dan lara.

Jikalau anda rasa hebat, sebenarnya ramailah lagi, jauh lebih hebat daripada anda. Esok anda hebat, lusa mungkin anda merempat. Belum tahu, justeru pintalah pada yang Esa agar perjalanan hidup anda sentiasa direstu dan dilindungi selalu.

Terus- terang saya katakan, di sebalik cabaran, dugaan dan asakan yang mendatang, adakalanya saya juga 'frust' dan tewas. Kecewa umpama 'mati' sebelum mati. Api juang adakala naik menjulang namun lazimnya padam dan kecundang.

Di sebalik tulis-tulisan saya dan rintangan yang dihadapi, mahu sahaja saya berhenti daripada mencebis kata-kata namun surat-surat pembaca dan puluhan email yang saya terima, 'menghidupkan' saya semula. Semua ini dengan hidayah dan kekuatan yang tuhan berikan.

Kata seorang tua kepada saya, sebanyak mana orang menyukai kita, mungkin sebanyak itulah orang membenci kita. Justeru janganlah kita mendabik dada, kerana dunia ini pinjaman semata-mata.

Ada pembaca yang menceriakan saya, ada yang lebih susah hidupnya dan lebih hebat pengorbanannya malah tidak kurang juga yang menegur dan mengkritik saya.

Sesungguhnya, pandangan, dan teguran pembaca dan cerita-cerita mereka, menyuntik semangat di dada yang adakalanya kecundang secara tiba-tiba.

Syukur kepada Allah, memberi kekuatan kepada saya dan terima kasih kepada pembaca, peminat dan pengkritik yang telah menyedarkan lena dan duka saya yang panjang...

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." (Al-Baqarah: 155-156).

Menulis jam 10.30 pagi 22 Julai 2009.- azm

(Sebarang teguran, pandangan dan suntikan semangat, bolehlah disisipkan kepada saya di azaminamin@yahoo)

isu keselamatan (Pishing)


Tuesday, July 21, 2009

KENTUT ITU MEMBAHAGIAKAN

Kentut itu membahagiakan

Jarang sekali kita dengar pompuan kentut kuat kuat terutamanya bila
tengah keluar dengan lelaki. Mereka sanggup tahan kentut sampai biru biru muka semata mata tak mau kentut depan teman lelaki mereka. Padahal, lelaki sikit pun tak kisah jika pompuan terkentut. Adat la tuh dah nak terkentut. Paling kurang lelaki akan berkata ”Eh! Makan apa kentut busuk dan kuat sangat nih???“ Dan secara otomatik lelaki dan pompuan tadi akan ketawa bersama sama. Ini akan menjadikan hubungan mereka semakin ceria.

Lelaki secara lazimnya terkentut secara tak sengaja. Dan apabila benda ni terjadi, lelaki dengan secara tak malunya akan mengaku depan teman wanitanya bahawa dia terkentut. Dan teman wanita secara spontan akan berkata ”Tak senonoh la…“ sambil mengejek manja teman lelakinya itu. Dan lihatlah betapa harmoninya hubungan mereka.

Jika dahulu pompuan asyik menahan kentut ketika bersama teman lelakinya, namun kini pompuan dengan beraninya memberitahu lelaki bahawa dia nak terkentut. Pendek kata, kentut mintak izin. Tengok…bagaimana kentut mendidik pompuan supaya menjadi begitu tertib. Dan hubungan mereka secara tak langsung akan bertambah baik.

Jika dahulu pompuan berkata perbuatan teman lelakinya yang asyik terkentut sesuatu perbuatan yang tak senonoh, namun kini dia semakin mengaguminya dan semakin menghormati…kerana itu adalah trademark teman lelakinya. Mana nak jumpa dah lelaki camtu…

Akhir sekali, jangan sesekali malu jika anda terkentut ketika anda berkunjung ke rumah dan menemui ahli keluarga pasangan anda. Ini kerana jika anda terkentut, ahli keluarga pasangan anda akan gelakkan anda secara beramai ramai. Secara tak langsung, ini akan mengeratkan hubungan anda bersama bakal bakal ahli keluarga anda.

Kesimpulan:
Kentut itu membahagiakan… .anda setuju???

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 9:02 AM

Monday, July 13, 2009

Demam

Dua minggu lepas anak kedua saya Muhammad Abrar demam dan selsema. Kemudian saya pula dijangkiti virus selsema dan beberapa hari lepas isteri kesayangan saya pula dijangkiti virus yang sama.

Semalam, selepas ke giant jalan-jalan cari makan, anak sulung saya muhammad adib menunjukkan tanda-tanda demam. Sesampainya di rumah, merengek-rengek menangis. Malam tadi, selepas membacakan doa kepadanya, memberikan makan ubat. Ada tanda-tanda kesembuhan. Harapnya penyakit tersebut akan disembuhkan Allah swt. Apabila aku sakit, Dialah (Allah) yang akan memberikan kesembuhan. Amin.

Thursday, July 9, 2009

Mansuh

Akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin TPM yang datangnya dari Johor (asal sama dengan penulis) membuat satu keputusan yang amat konkrit iaitu memansuhkan PPSMI sepertimana hasrat dalam Konvensyen UMNO Johor. Nampaknya Muhyiddin lebih berani menongkah arus dasar yang dibuat oleh Tun Mahathir. Satu pujian harus diberikan kepada beliau dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan sokongan rakyat kepada parti pemerintah.

Pujian harus diberikan juga kepada pejuang-pejuang bahasa,berani. Mereka berani menyatakan kebenaran. Ramai orang yang tidak berani menyatakan kebenaran dihadapan bos mereka. Tetapi di belakang bos, habis dikutuknya berbakul-bakul. Harap saya tidak begitu. Kerana saya akan menyatakan sikap saya, idea saya, azam saya yang sebenarnya dihadapan siapa pun, walaupun ianya bertentangan dengan idea umum. Moga Allah akan memandu hidup saya ini. Amin

Percaya dan yakinlah usaha kalian akan dicatat dalam buku emas dengan tinta emas dan akan dikenangkan bangsa bukan hari ini tetapi 100 tahun lagi

Wednesday, July 8, 2009

Adakah Kabinet akan hapuskan PPSMI?

Semua orang yang prihatin akan menantikan hari ini dengan penuh debaran. Pengumuman daripada TPM pada pukul 2.30 petang ini di KPM akan menentukan hala tuju dasar pendidikan negara.

Sebagai pendidik, saya akan menunggu dengan penuh sabar. PPSMI, sudah dilaksanakan 6 tahun, dan telah menghabiskan RM12 bilion duit rakyat Malaysia. Banyak instrumen yang dibekalkan hanya menjadi gajah putih disekolah-sekolah. LCD, speaker, desktop dlm kelas,sebilangan laptop yang kebanyakkan tidak boleh digunakan. Sama-samalah kita tunggu, moga ada sinar harapan untuk pejuang-pejuang bahasa!

Tuesday, July 7, 2009

Mengapa Saya Tentang Dasar PPSMI

Di ambil dari artikel Zukri Akashah

KALAU ada orang Malaysia mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh maju dengan budaya Melayu, tidak boleh maju dengan bahasa Melayu, mesti dengan bahasa Inggeris, maka orang itulah yang akan saya persalahkan bila dikatakan pemikiran orang kita tidak pernah maju-maju walaupun prasarana di sekelilingnya sudah berada di kelas nombor satu.

Saya tidak nafikan kepentingan bahasa Inggeris, saya juga bersetuju bahawa adalah sesuatu yang bagus untuk menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Saya tidak menghalang kalau ada orang mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi kalau saya ke Jepun untuk menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Jepun, tidakkah bahasa Jepun juga bahasa ilmu? Jika saya ke Jordan menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Arab, tidakkah bahasa Arab juga bahasa ilmu? Andai saya ke Jerman untuk belajar kejuruteraan, saya terpaksa belajar bahasa Jerman, tidakkah bahasa Jerman juga bahasa ilmu?
Yang paling penting, jika seorang Rusia datang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran, tidakkah dia perlu belajar bahasa Melayu? Maka bukankah bahasa Melayu juga bahasa ilmu?

Orang yang begitu mempertahankan dasar PPSMI mendakwa kononnya jika PPSMI dimansuhkan, ia akan memberi masalah kepada anak-anak kita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, bukankah banyak sumber rujukan dalam bahasa Inggeris? Orang begini boleh mempersoalkan pula sampai bila kita mahu bergantung kepada penterjemah?

Saya kasihankan orang sebegini. Ternyata dia terlalu berkiblatkan British dan Amerika Syarikat, walaupun pernah hidup di era Dasar Pandang ke Timur. Sudah berapa ramai negara kita menghantar pelajar ke negara-negara seperti Jepun, Rusia, China, Jerman dan Perancis? Tidak pernah pula saya dengar mereka ini di waktu persekolahannya belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Jepun, Rusia, China, Jerman atau Perancis. Mereka lulus juga, cemerlang juga, pulang ke Malaysia menabur jasa dan bakti.

Orang yang mempersoalkan kebergantungan masyarakat kepada kerja-kerja terjemahan adalah orang yang buta tamadun. Bukankah tamadun Islam bangkit dan berkembang akibat rancaknya aktiviti-aktiviti terjemahan karya filusuf terdahulu seperti Aristotle dan Plato.

Bukankah Barat bangun dari kegelapan dan membina zaman kebangkitannya hasil dari terjemahan karya-karya sarjana Islam sebelumnya? Dan bukankah juga agama Islam sendiri berkembang kerana masyhaf Quran telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa?

Lemahnya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kita bukan kerana melayunya mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah. Anak-anak kita sudah belajar bahasa Inggeris dari Tahun Satu ke Tahun Enam, dari Tingkatan Satu ke Tingkatan Lima.

Waktu saya dahulu, selain subjek bahasa Inggeris biasa, pelajar juga dibenarkan mengambil English 1119 dalam peperiksaan SPM. Hari ini pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti tempatan pun mesti menduduki peperiksaan MUET. Tidak cukup lagikah pendedahan bahasa Inggeris untuk mereka?

Bagi saya yang salah bukan bila masyarakat menolak dasar PPSMI, tetapi jika benar penguasaan bahasa Inggeris secara umumnya memang lemah di kalangan pelajar kita sejak dahulu, maka yang harus dipersoalkan ialah bentuk latihan yang diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris, dari peringkat sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Silibus dan kaedah latihan guru-guru bahasa Inggeris di maktab-maktab perguruan harus dikaji dan digubal semula, juga semakan turut perlu dibuat terhadap kriteria pemilihan calon-calon guru bahasa Inggeris tersebut.

Ingatlah akan pesan jauhari dahulu-kala, bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Maka bagi bangsa Malaysia yang berbahasa rasmikan bahasa Melayu, bahasa Melayu itulah jiwanya. Hari ini kita sedang menggunapakai satu proses indoktrinisasi yang sesat.

Kita bukan sahaja sedang "membasuh minda" anak-anak kita supaya membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mengira dan berteori dalam bahasa Inggeris, lebih parah daripada itu, anak-anak kita ditekan supaya berfikir dan bermimpi dalam bahasa inggeris. Lebih tepat bangsa Malaysia sedang diinggeriskan bahasanya.

Lalu, bila proses indoktrinisasi sesat ini selesai dan berjaya, bangsa Malaysia akan muncul sebagai bangsa yang tiada jiwa. Orked Abdullah adalah seorang Inggeris yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa inggerisnya telah mati. Dian P. Ramlee adalah seorang Cina yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa Cinanya telah mati.

Dalam konteks pendidikan, ada orang kita yang memilih untuk menolak sistem persekolahan kebangsaan dan mengikuti sistem persekolahan luar yang kononnya internasional. Maka mereka membesar dengan asuhan bahasa asing, pemikiran dibentuk dengan bahasa asing, pergaulan berasaskan bahasa asing, jiwa Malaysia mereka pun mati!

Walau bagaimanapun sosok fizikal mereka masih Malaysia, spesifiknya masih Melayu, kekadang mereka masih mahu bermelayu lewat acara-acara adat dan ritual seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Tetapi kenduri kesyukuran (yang sepatutnya kita boleh gambarkan aturannya) di tangan mereka menjadi garden style, ada tari-menari. Ahhh... kacau!!!

Kabinet akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar PPSMI. PPSMI dilaksanakan pada waktu negara jiran kita Singapura, yang berbahasa utamakan bahasa inggeris sudah mula berusaha memartabatkan bahasa Mandarin, pada waktu kuasa besar dunia, Amerika Syarikat yang juga berbahasa inggeris, sedang berada di ambang kejatuhan akibat masalah ekonomi dan kewangan yang serius.

PPSMI juga dilaksanakan jauh selepas Empayar British, tonggak bahasa inggeris dunia sudah hanya tinggal nama. Kita bukan melangkah, kita sedang mengundur, bahkan semakin hari semakin ke belakang.

Kalaulah Muhyidin bertanya saya apa keputusan yang patut dibuat, saya tidak perlu berfikir dan termenung untuk menjawab batalkan sahaja, batalkan sebelum terlambat, batalkan sebelum bangsa Malaysia mati jiwanya.