Tuesday, July 21, 2009

KENTUT ITU MEMBAHAGIAKAN

Kentut itu membahagiakan

Jarang sekali kita dengar pompuan kentut kuat kuat terutamanya bila
tengah keluar dengan lelaki. Mereka sanggup tahan kentut sampai biru biru muka semata mata tak mau kentut depan teman lelaki mereka. Padahal, lelaki sikit pun tak kisah jika pompuan terkentut. Adat la tuh dah nak terkentut. Paling kurang lelaki akan berkata ”Eh! Makan apa kentut busuk dan kuat sangat nih???“ Dan secara otomatik lelaki dan pompuan tadi akan ketawa bersama sama. Ini akan menjadikan hubungan mereka semakin ceria.

Lelaki secara lazimnya terkentut secara tak sengaja. Dan apabila benda ni terjadi, lelaki dengan secara tak malunya akan mengaku depan teman wanitanya bahawa dia terkentut. Dan teman wanita secara spontan akan berkata ”Tak senonoh la…“ sambil mengejek manja teman lelakinya itu. Dan lihatlah betapa harmoninya hubungan mereka.

Jika dahulu pompuan asyik menahan kentut ketika bersama teman lelakinya, namun kini pompuan dengan beraninya memberitahu lelaki bahawa dia nak terkentut. Pendek kata, kentut mintak izin. Tengok…bagaimana kentut mendidik pompuan supaya menjadi begitu tertib. Dan hubungan mereka secara tak langsung akan bertambah baik.

Jika dahulu pompuan berkata perbuatan teman lelakinya yang asyik terkentut sesuatu perbuatan yang tak senonoh, namun kini dia semakin mengaguminya dan semakin menghormati…kerana itu adalah trademark teman lelakinya. Mana nak jumpa dah lelaki camtu…

Akhir sekali, jangan sesekali malu jika anda terkentut ketika anda berkunjung ke rumah dan menemui ahli keluarga pasangan anda. Ini kerana jika anda terkentut, ahli keluarga pasangan anda akan gelakkan anda secara beramai ramai. Secara tak langsung, ini akan mengeratkan hubungan anda bersama bakal bakal ahli keluarga anda.

Kesimpulan:
Kentut itu membahagiakan… .anda setuju???

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 9:02 AM

Monday, July 13, 2009

Demam

Dua minggu lepas anak kedua saya Muhammad Abrar demam dan selsema. Kemudian saya pula dijangkiti virus selsema dan beberapa hari lepas isteri kesayangan saya pula dijangkiti virus yang sama.

Semalam, selepas ke giant jalan-jalan cari makan, anak sulung saya muhammad adib menunjukkan tanda-tanda demam. Sesampainya di rumah, merengek-rengek menangis. Malam tadi, selepas membacakan doa kepadanya, memberikan makan ubat. Ada tanda-tanda kesembuhan. Harapnya penyakit tersebut akan disembuhkan Allah swt. Apabila aku sakit, Dialah (Allah) yang akan memberikan kesembuhan. Amin.

Thursday, July 9, 2009

Mansuh

Akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin TPM yang datangnya dari Johor (asal sama dengan penulis) membuat satu keputusan yang amat konkrit iaitu memansuhkan PPSMI sepertimana hasrat dalam Konvensyen UMNO Johor. Nampaknya Muhyiddin lebih berani menongkah arus dasar yang dibuat oleh Tun Mahathir. Satu pujian harus diberikan kepada beliau dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan sokongan rakyat kepada parti pemerintah.

Pujian harus diberikan juga kepada pejuang-pejuang bahasa,berani. Mereka berani menyatakan kebenaran. Ramai orang yang tidak berani menyatakan kebenaran dihadapan bos mereka. Tetapi di belakang bos, habis dikutuknya berbakul-bakul. Harap saya tidak begitu. Kerana saya akan menyatakan sikap saya, idea saya, azam saya yang sebenarnya dihadapan siapa pun, walaupun ianya bertentangan dengan idea umum. Moga Allah akan memandu hidup saya ini. Amin

Percaya dan yakinlah usaha kalian akan dicatat dalam buku emas dengan tinta emas dan akan dikenangkan bangsa bukan hari ini tetapi 100 tahun lagi

Wednesday, July 8, 2009

Adakah Kabinet akan hapuskan PPSMI?

Semua orang yang prihatin akan menantikan hari ini dengan penuh debaran. Pengumuman daripada TPM pada pukul 2.30 petang ini di KPM akan menentukan hala tuju dasar pendidikan negara.

Sebagai pendidik, saya akan menunggu dengan penuh sabar. PPSMI, sudah dilaksanakan 6 tahun, dan telah menghabiskan RM12 bilion duit rakyat Malaysia. Banyak instrumen yang dibekalkan hanya menjadi gajah putih disekolah-sekolah. LCD, speaker, desktop dlm kelas,sebilangan laptop yang kebanyakkan tidak boleh digunakan. Sama-samalah kita tunggu, moga ada sinar harapan untuk pejuang-pejuang bahasa!

Tuesday, July 7, 2009

Mengapa Saya Tentang Dasar PPSMI

Di ambil dari artikel Zukri Akashah

KALAU ada orang Malaysia mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh maju dengan budaya Melayu, tidak boleh maju dengan bahasa Melayu, mesti dengan bahasa Inggeris, maka orang itulah yang akan saya persalahkan bila dikatakan pemikiran orang kita tidak pernah maju-maju walaupun prasarana di sekelilingnya sudah berada di kelas nombor satu.

Saya tidak nafikan kepentingan bahasa Inggeris, saya juga bersetuju bahawa adalah sesuatu yang bagus untuk menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Saya tidak menghalang kalau ada orang mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi kalau saya ke Jepun untuk menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Jepun, tidakkah bahasa Jepun juga bahasa ilmu? Jika saya ke Jordan menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Arab, tidakkah bahasa Arab juga bahasa ilmu? Andai saya ke Jerman untuk belajar kejuruteraan, saya terpaksa belajar bahasa Jerman, tidakkah bahasa Jerman juga bahasa ilmu?
Yang paling penting, jika seorang Rusia datang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran, tidakkah dia perlu belajar bahasa Melayu? Maka bukankah bahasa Melayu juga bahasa ilmu?

Orang yang begitu mempertahankan dasar PPSMI mendakwa kononnya jika PPSMI dimansuhkan, ia akan memberi masalah kepada anak-anak kita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, bukankah banyak sumber rujukan dalam bahasa Inggeris? Orang begini boleh mempersoalkan pula sampai bila kita mahu bergantung kepada penterjemah?

Saya kasihankan orang sebegini. Ternyata dia terlalu berkiblatkan British dan Amerika Syarikat, walaupun pernah hidup di era Dasar Pandang ke Timur. Sudah berapa ramai negara kita menghantar pelajar ke negara-negara seperti Jepun, Rusia, China, Jerman dan Perancis? Tidak pernah pula saya dengar mereka ini di waktu persekolahannya belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Jepun, Rusia, China, Jerman atau Perancis. Mereka lulus juga, cemerlang juga, pulang ke Malaysia menabur jasa dan bakti.

Orang yang mempersoalkan kebergantungan masyarakat kepada kerja-kerja terjemahan adalah orang yang buta tamadun. Bukankah tamadun Islam bangkit dan berkembang akibat rancaknya aktiviti-aktiviti terjemahan karya filusuf terdahulu seperti Aristotle dan Plato.

Bukankah Barat bangun dari kegelapan dan membina zaman kebangkitannya hasil dari terjemahan karya-karya sarjana Islam sebelumnya? Dan bukankah juga agama Islam sendiri berkembang kerana masyhaf Quran telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa?

Lemahnya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kita bukan kerana melayunya mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah. Anak-anak kita sudah belajar bahasa Inggeris dari Tahun Satu ke Tahun Enam, dari Tingkatan Satu ke Tingkatan Lima.

Waktu saya dahulu, selain subjek bahasa Inggeris biasa, pelajar juga dibenarkan mengambil English 1119 dalam peperiksaan SPM. Hari ini pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti tempatan pun mesti menduduki peperiksaan MUET. Tidak cukup lagikah pendedahan bahasa Inggeris untuk mereka?

Bagi saya yang salah bukan bila masyarakat menolak dasar PPSMI, tetapi jika benar penguasaan bahasa Inggeris secara umumnya memang lemah di kalangan pelajar kita sejak dahulu, maka yang harus dipersoalkan ialah bentuk latihan yang diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris, dari peringkat sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Silibus dan kaedah latihan guru-guru bahasa Inggeris di maktab-maktab perguruan harus dikaji dan digubal semula, juga semakan turut perlu dibuat terhadap kriteria pemilihan calon-calon guru bahasa Inggeris tersebut.

Ingatlah akan pesan jauhari dahulu-kala, bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Maka bagi bangsa Malaysia yang berbahasa rasmikan bahasa Melayu, bahasa Melayu itulah jiwanya. Hari ini kita sedang menggunapakai satu proses indoktrinisasi yang sesat.

Kita bukan sahaja sedang "membasuh minda" anak-anak kita supaya membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mengira dan berteori dalam bahasa Inggeris, lebih parah daripada itu, anak-anak kita ditekan supaya berfikir dan bermimpi dalam bahasa inggeris. Lebih tepat bangsa Malaysia sedang diinggeriskan bahasanya.

Lalu, bila proses indoktrinisasi sesat ini selesai dan berjaya, bangsa Malaysia akan muncul sebagai bangsa yang tiada jiwa. Orked Abdullah adalah seorang Inggeris yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa inggerisnya telah mati. Dian P. Ramlee adalah seorang Cina yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa Cinanya telah mati.

Dalam konteks pendidikan, ada orang kita yang memilih untuk menolak sistem persekolahan kebangsaan dan mengikuti sistem persekolahan luar yang kononnya internasional. Maka mereka membesar dengan asuhan bahasa asing, pemikiran dibentuk dengan bahasa asing, pergaulan berasaskan bahasa asing, jiwa Malaysia mereka pun mati!

Walau bagaimanapun sosok fizikal mereka masih Malaysia, spesifiknya masih Melayu, kekadang mereka masih mahu bermelayu lewat acara-acara adat dan ritual seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Tetapi kenduri kesyukuran (yang sepatutnya kita boleh gambarkan aturannya) di tangan mereka menjadi garden style, ada tari-menari. Ahhh... kacau!!!

Kabinet akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar PPSMI. PPSMI dilaksanakan pada waktu negara jiran kita Singapura, yang berbahasa utamakan bahasa inggeris sudah mula berusaha memartabatkan bahasa Mandarin, pada waktu kuasa besar dunia, Amerika Syarikat yang juga berbahasa inggeris, sedang berada di ambang kejatuhan akibat masalah ekonomi dan kewangan yang serius.

PPSMI juga dilaksanakan jauh selepas Empayar British, tonggak bahasa inggeris dunia sudah hanya tinggal nama. Kita bukan melangkah, kita sedang mengundur, bahkan semakin hari semakin ke belakang.

Kalaulah Muhyidin bertanya saya apa keputusan yang patut dibuat, saya tidak perlu berfikir dan termenung untuk menjawab batalkan sahaja, batalkan sebelum terlambat, batalkan sebelum bangsa Malaysia mati jiwanya.

Friday, June 26, 2009

Kisah 'Swine Flu' dan penternakan khinzir

Mutakhir ini, virus H1N1 menyerang. Selepas selesema burung menyerang kita, kini negara diserang selesema babi. Barat memanggilnya 'swine flu', bukan 'pig flu'

Sebelum ini, kita pernah dengar virus J.E. Baik 'swine flu' dan J.E, kedua-dua virus ini bermuara dari asal-usul keturunan dan susur-galur silsilah yang sama; babi.

Bahasa yang lebih lunak ialah khinzir. Ada riwayat menyebutkan bahawa ketika bahtera Nabi Nuh telah penuh dengan kekotoron najis yang dilemparkan musuh-musuhnya, ketika itu muncul haiwan babi yang dikatakan, kononnya telah memakan segala timbunan najis-najis itu.

Pada suatu hari, seorang lelaki yang diserang sejenis penyakit kulit jatuh ke atas bahtera Nuh. Dengan tidak semena-mena, penyakit kulitnya sembuh. Berita itu tersebar pantas, sehingga ramai kalangan mereka yang diserang penyakit yang sama telah datang melumur najis dari bahtera itu ke atas tubuh badan mereka.

Dipendekkan cerita, akhirnya, lama-kelamaan, hilang lenyaplah segala bau dan najis itu kerana mereka mencuci sehingga bersih bahtera itu semata-mata kerana inginkan saki-baki 'air penawar' yang masih terpalit di atas bahtera tersebut. Wallahu'alam..

Kalau riwayat ini benar, maka sejarah permulaan kemunculan makhluk Allah ini mungkin bermula sejak zaman Nabi Nuh a.s lagi. Sejak Nabi Adam, kita hanya mengenali kambing, lembu sebagai haiwan ternakan. Kita tidak pernah tersua dengan kisah kaum-kaum Aad, Tsamud, masyarakat Iram di padang pasir yang menternak babi. Mereka hanya menternak unta, kambing di gurun sahara.

Dalam al-Qur'an, surah al-Baqarah yang mendapat namanya ekoran kisah seekor lembu sapi betina Bani Israel yang digunakan dalam kes pembunuhan. Dan, Nabi Musa ketika itu menjadi hakimnya.

Maka, babi sebagai haiwan ternakan sangat asing dalam kisah-kisah al-Quran dan malah tamadun-tamadun, kaum-kaum yang sangat ingkar kepada Tuhan pun, barangkali tidak menternak haiwan ini.

Sejak bila dikomersialkan penternakan babi?

Tidak diketahui sejak bilakah babi dijadikan haiwan ternakan? Dan, tamadun mana pula yang menjadikan khinzir sebagai haiwan ternakan, lalu menjadikan daging haiwan itu sebagai produk dagangan antarabangsa.

Zaman berlalu menyaksikan peradaban demi peradaban runtuh, digantikan dengan negara bangsa. Daging khinzir mula dijadikan hidangan, dan makanan-makanan bernilai komersial. Di Malaysia hari ini, babi juga menjadi haiwan ternakan warganegara kita.

Dengan tidak semena-mena, penyakit yang bermuara daripada babi ini mengancam kemanusiaan sejagat. Bagaikan air yang mengalir deras, penyakit yang bermuara dari Mexico ini telah mengalir cepat, meluncur laju ke lembah Amerika Syarikat dan gelombang tsunami penyakit itu, kocakannya membadai ke Malaysia pula.

Mengancam alam sekitar dan maruah

Namun, setakat ini, tiada lagi kita mendengar penyakit 'swine flu' itu berasal daripada babi di Malaysia. Yang kita dengar J.E atau Virus Nipah sahaja. Itu jelas. Selain itu, Karam Singh Walia kerap melaporkan isu-isu pencemaran air sungai yang terkait dengan penternakan babi di Malaysia.

Ringkasnya, Virus Nipah oleh khinzir di Malaysia tidak melebarkan empayar serangannya ke serata dunia. Tapi, 'swine flu' ini berawal dari Mexico, USA dan kini hinggap ke negara kita. Itu bezanya. Penyakit boleh datang dari pelbagai arah. Tapi, babi itulah punca asal kepada masalah merebaknya penyakit ini.

Selain pencemaran air sungai, babi menjadi simbol pergaduhan dan penghinaan ke atas pihak-pihak tertentu. Misalnya, telah wujud kes menggantung kepala babi di atas pagar seorang pemimpin parti politik. Dalam surau di sebuah kampus di Lembah Klang, kepala babi dibalut lalu diletakkan di atas bendera sebuah parti pembangkang.

Maka, sekurang-kurangnya, ancaman babi ke atas kemanusiaan dalam konteks Malaysia, ada dua - iaitu, pertamanya penternakan babi merosakkan alam sekitar melalui pencemaran sumber takungan dan tadahan air seperti tasik dan sungai-sungai. Kedua, babi disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, guna menjatuhkan maruah orang dan sesebuah organisasi parti.

Antara rumusan dan kesimpulan awal yang kita boleh susun di sini ialah - penternakan babi mengundang parah yang lebih banyak dan musibahnya berbanding keuntungan. Yang rugi adalah alam sekitar dan maruah manusia (termasuk parti). Yang untung adalah sebilangan kaum pemodal, kapitalis bukan Melayu, bukan Islam.

Jika salah tafsiran, orang akan menganggap isu ini sensitif kerana melanggar tebing sensitiviti ras dan agama tertentu. Tapi, ketepikan dulu soal agama, soal perkauman. Kita menulis untuk membicarakan soal pemeliharaan alam sekitar, maruah dan nyawa manusia.

Apatah lagi dengan kehadiran virus H1N1 dan 'swine flu' hari ini, termasuk Virus Nipah, pencemaran sungai, maka penternakan babi mesti dijadikan perbahasan utama dalam Parlimen termasuklah di warung-warung kopi di celah-celah pelusuk kampung.

Sebenarnya, masalah selesema babi ini juga menggugat industri pelancongan negara. Bagaimanakah kita mahu mengukur kelembapan industri pelancongan ini? Perkara yang paling mudah dikesan ialah berkurangannya para pelancong yang berlibur di dalam negara kita.

Kejatuhan ekonomi dunia tidak ganggu industri pelancongan

Kesan ekonomi global sebenarnya tidak menghalang para pelancong daripada terus berpusu-pusu masuk, membanjiri negara. Tapi, dengan keadaan wabak kerisauan yang menular ke dalam jantung hati manusia berikutan selesema babi ini, para pelancong semakin berawas jika mahu berlibur ke mana-mana.

Menurut laporan, tempahan menginap di hotel telah mengalami penurunan penempahan sebanyak 10 peratus. Malah, penularan wabak ini turut menghempap kepada sektor makanan dan pengangkutan.

Kalau mahu dihimpunkan keburukan selesema babi ini cukup banyak. Sedangkan kita cuma membangkitkan satu persoalan saja, iaitu benarkah pada akhir riwayat dunia akhir zaman ini, babi-babi akan dibunuh seperti yang terangkum dalam sabda junjungan besar kita itu?

Mungkinkah sekarang, dengan tibanya H1N1 yang telah merebak ke seluruh dunia, menyebabkan sudah tiba masanya untuk membuat keputusan menutup dan menghapuskan segala ladang penternakan babi di seluruh dunia atas nama keselamatan awam?

Najis dan sisa kumbahan babi yang dibuang ke dalam sungai boleh merosakkan sumber air, membawa pencemaran alam sekitar. Hal sama keadaannya dengan H1N1 ini yang mengalir dalam pembuluh darah kita. Air sungai dalam sesebuah negara bagaikan darah yang mengalir dalam tubuh; mengalirkan kekotoran untuk kesihatan tubuh.

Bayangkan jika darah dicemari H1N1 seperti mana air sungai dicemari najis kumbahan babi. Sihatkah tubuh, bersihkah negara?

Haiwan tidak dibunuh kerana mereka berdosa atau tidak. Tiada konsep dosa pahala dalam kehidupan haiwan. Setiap haiwan diburu, diternak sebagai makanan manusia. Itu sunnatullah, fitrah. Itu lumrah alam dan menjadi amalan dalam kehidupan manusia.

Tapi, apabila khinzir mula membawa masalah. Setiap 'hembusan' nafasnya dengan tak semena-mena mendatangkan jangkitan selesema untuk manusia, maka kehadiran haiwan itu perlulah diambil tindakan serius demi menyelamatkan manusia dan kemanusiaan.

Diriwayatkan dalam hadis akhir zaman bahawa akan ada watak akhir zaman yang akan membunuh haiwan. Maka membunuh babi bukanlah kesalahan walaupun sesebuah negara Islam seperti Malaysia telah meletakkan penternakan babi ini sebagai salah satu perusahaan yang mengukuhkan sendi ekonominya sendiri.

Perlu keputusan segera

Maka, negara kita dalam tempoh terdekat mesti merumuskan suatu sikap yang penting ke atas penternakan babi tanpa memperhitung kepentingan politik dan maslahat ekonomi kapitalis yang terlibat dengan perternakan babi di negara kita.

Membunuh khinzir bukanlah bererti ia dilakukan di atas dorongan kebencian ke atas pihak tertentu, sebaliknya ia dibuat untuk mengatasi masalah pencemaran air, udara, tanah dan alam sekitar seluruhnya. Apatah lagi mutakhir ini, babi dengan selesemanya berpotensi besar mengancam manusia dan kemanusiaan.

Mungkin kita tak perlu menunggu insan yang dijanjikan itu tiba terlebih dahulu untuk turun melenyapkan haiwan berkenaan. Kita boleh membentuk suatu suruhanjaya yang mengkaji ancaman selesema babi ke atas masyarakat kita sendri.

Sebenarnya, kita tak perlu bertanya-bilakah insan yang dimaksudkan akan turun melenyapkan haiwan berkenaan pada akhir zaman? Menurut lojik akal, insan tersebut bersendirian ketika membunuh babi-babi itu.

Pemimpin itu tentulah tiba secara berkumpulan. Watak-watak jernih akhir zaman sebagai yang dijanjikan ini mungkin hadir dalam bentuk organisasi tersusun seperti kekuasaan, kerajaan, negara atau pertubuhan NGO. Tapi, apa persediaan kita untuk menyambut watak-watak jernih akhir zaman yang bakal melenyapkan haiwan-haiwan tersebut?

Tentulah mereka terpaksa bertembung dengan kilang-kilang pemprosesan daging khinzir yang dimiliki kapitalis, penguasa negara tertentu. Ladang ternakan babi pula tentunya dilindungi oleh kekuasaan besar dan meluas pula. Jadi, sekali lagi, mustahillah watak akhir zaman yang dijanjikan itu akan berjuang bersendirian.

Pemimpin Islam dan negara Islam yang 'berjuang' mempertahan ladang ternakan babi perlu memikirkan semula, sama ada mereka itu benar-benar Islam mengikut acuan Nabi Muhammad s.a.w atau tidak?

Kalau orang bukan Islam yang mempertahan kilang pemprosesan dan ladang ternakan babi, hal itu tidak perlu dibahas lagi. Kita sudah sedia maklum akan hal tersebut.

Jika kita boleh membentuk rangkaian kerjasama untuk membasmi ladang-ladang khinzir yang bermasalah dalam negara, maka mungkin tiba masanya kelak, negara kita akan termasuk dalam rangkaian perjuangan watak-watak jernih akhir zaman yang bergabung untuk melenyapkan ladang khinzir sekali gus membunuh dajjal.

Artikel ini merupakan daripada pengarang asal H Fansuri sekolah pemikiran Kg Baru

Thursday, June 18, 2009

SINGAPURA



Singapura, sebuah negara yang mendapat kemerdekaan di dalam dunia ini tanpa menuntut kemerdekaan. Singapura diterajang dari Malaysia dengan satu sidang khas parlimen yang di bawa oleh Tunku Abdul Rahman bagi mengeluarkannya (memerdekakannya) dari Malaysia.

Dalam Siaran Astro 551 baru-baru ini, Lee Kuan Yuu pada ketika itu Perdana Menteri Singapura menangis teresak-esak bila mendengar perkhabaran tersebut. Hampir 2 hari beliau mendiamkan diri di sebuah pulau bagi mencari kekuatan dan semangat. Akhirnya, apa yang beliau yakinkan, iltizamkan singapura menjadi seperti hari ini.

Kota singapura, merupakan negara maju. Memanglah jika diukurkan dengan Malaysia, jauh ketinggalan.

Sebenarnya, bila melawat singapura saya rasa bersyukur menjadi rakyat malaysia.Malaysia banyak yang indah. Semua yang indah ada di malaysia. Cuma kadang-kadang kita kecewa dengan sesetangah orang@pemimpin yang tunduk pada singapura. Mengapa? Kerana duit ker? Mereka sahaja yang boleh menjawabnya.

Cuma, yang saya takkan lupa di singapura ialah makan murtabak SD6 di hadapan masjid sultan dekat dengan arab street. Sedap jugak, berbanding makan nasi di pinggir pulau sentosa. Takder selera rasanya.

Saturday, May 9, 2009

POLITIK

Sumpah dan janji manis orang politik memang tidak boleh dipercayai. Tetapi tindakan orang politik adalah tidak mustahil.

Saya pernah berpengalaman dulu-dulu kala, menjemput seorang ahli parlimen semasa di UKM dulu, bergelar Dato' (sekarang dah jadi X YB) berjanji akan memberi RM10,000.00 kepada projek yg saya kelolakan. Tapi, itulah janji seorang ahli politik, tidak ditunaikan. Seingat saya, 4 kali turun naik pejabat YB tersebut, akhirnya saya terpaksa mencari alternatif lain utk membiayai projek saya tersebut.

Tindakan orang politik adalah tidak mustahil.

Pernah satu ketika, anak saudara saya posting di klang, suaminya di bekerja di syarikat Intell di Penang. Apabila bersua YB Menteri Pelajaran di Parlimen saya menyuarakan hal kesulitan tersebut. Surat dikemukakan. Tindakannya 5 hari anak saudara saya telah dapat bertukar sekolah di Penang. Tindakan orang politik memang tidak mustahil.

Saya juga terserempak beberapa ahli politik yg lain. Bercakap dan bersembang, memang tindakan orang politik yang mustahil bagi rakyat biasa tidak mustahil bagi mereka.

Jadi apabila membaca, melihat, dan menonton insiden yang berlaku di Perak saya katakan bahawa " Memang, tindakan orang politik adalah tidak mustahil, tetapi janji manis orang politik tidak boleh dipercayai"

Sunday, April 26, 2009

MENARA BANGSA

Suria muncul di pagi hari
Kita bangun sederap kaki
Menara bangsa akan kita bina
Perkasa tiada rebah lagi

Mentari sudah ada di sini
Pasti bersinar beribu tahun lagi
Biar berhembus angin sangkakala
Malam pasti tiada datang

Kita sudah tiada perlu tidur
Kerana mimpi ada di depan mata
Embun jernih pengganti keringat
Berkilau bagai mutiara

Rimba akan terus hijau
Unggas riang ria berkicau
Air jernih meriak di sungai
Udara nyaman tenang dirongga

Darah kembali berharga
Merah buat penyeri muka
Senyum terus meniti di bibir
Kasih sayang jadi milik semua

Kita bebas
Terbang laksana burung
Terikat hanya di tali cinta (2X)

(lagu rasmi BTN JPM)